Wednesday, 19 June 2013

Rasulullah insan biasa (?)

Bismillahirrahmanirrahim,

Bermula tangan ini menari di atas papan kekunci, cuba mencoret kata-kata dengan mengharapkan ilham dan inayah dari Ilahi serta kekutan dariNya. Kerana tidaklah petunjuk dariNya itu hanya sia-sia dan tiada manfaatnya kerana kita hamba yang lemah ini tiadalah tempat bergantung melainkan kepdaNya.
Alhamdulillah,masih lagi bernafas,masih lagi Islam dan Alhamdulillah seribu-ribu lemon syukur kepadaNya kerana diberi kurniaan dariNya untuk menjadi salah seorang umat kekasihNya, Sayyiduna Muhammad s.a.w(sallallahualaihiwasalam).Sesungguhnya nikmat dan kurniaan yang paling besar tiada terhingga adalah nikmat Baginda s.a.w diutuskan. Kerana telah berfirman Allah s.w.t :

"وما  أرسلناك إلا رحمة  للعالمين "
"Dan tidaklah Aku utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan ianya adalah rahmat untuk sekalian alam".
 
 
Sesungguhnya ketahuilah bahawa Rasulallah s.a.w adalah wasilah (penghubung) cinta dan rahmat antara kita hamba yang lemah ini dengan Allah Rabbul A'la. Maka bagaimanakah boleh dikatakan Rasulallah itu adalah hanya manusia biasa.
 
Pemahaman pada ayat Al-Quran "Katakanlah (Wahai Muhammad) bahawasanya aku adalah manusia biasa" perlu difahami dengan kefahaman yang benar beserta rasa kasih pada Rasulallah s.a.w. Pemahaman yang menurut hawa nafsu akan menyebabkan lahirnya pandangan mengatakan bahawa Rasulallah s.a.w itu adalah insan biasa dan tiada kelebihan padanya sama ada ketika Baginda s.a.w hidup ataupun sesudah Baginda s.a.w wafat. Ini adalah kefahaman yang sangat menyimpang sama sekali. Natijah daripada pemahaman sebegini,menyebabkan berlakunya perbuatan membid'ahkan umat Islam menziarahi maqam Rasulallah s.a.w di Madinah dan membid'ah dan menyesatkan golongan yang gemar membaca qasidah memuji Rasulallah. Alasan mereka adalah itu adalah perbuatan yang sia-sia dan Rasulullah s.a.w itu adalah hanya manusia biasa,tak perlu diagung-agungkan sampai nak berqasidah dan menangis di maqam Baginda s.a.w lantaran kerana kerinduan yang mendalam pada baginda s.a.w.


Lihatlah dan perbanyakkanlah menelaah buku-buku dan kitab-kitab. Beratus, bahkan beribu kitab telah dikarang oleh para Ulama' As-Solehin mensyarahkan dan menceritakan tentang kelebihan Rasulallah s.a.w. Sudah tentu salah satu gelaran untuk Rasulallah s.a.w itu adalah Al-Mustafa,yakni yang terpilih. Pilihan itu pula adalah dari Allah s.w.t yang telah mengambil Baginda s.a.w sebagai kekasihNya. Maka tidak cukupkah ini sebagai dalil menyatakan bahawa Baginda s.a.w itu bukanlah insan biasa,tetapi adalah "luar biasa". Memang benar, Baginda s.a.w adalah insan biasa. Perlu difahami di sini, insan biasa bukan bermakna zahir dan batin,keseluruhan yang ada pada  Rasulallah itu semuanya sama seperti kita. Insan biasa di sini bermaksud bahawa Rasulallah itu berperawakan seperti manusia biasa, seperti Baginda s.a.w makan, tidur, dan lain-lain lagi bagi fitrah seorang manusia. Jika Rasulallah itu tidak makan,tidak minum,tidak tidur,maka bukanlah lagi Baginda s.a.w itu seorang manusia,tetapi sudah bersifat seperti malaikat pula.Sedangkan malaikat adalah malaikat, Rasulallah s.a.w,Pesuruh Allah pula adalah dari kalangan manusia dan Baginda adalah manusia. Cubalah kita fahami dengan hati yang bersih dan tidak bersangka buruk dengan Baginda s.a.w.  Disebabkan Baginda s.a.w adalah pilihan dari Allah s..w.t maka adalah kewajiban bagi kita untuk menyintai Baginda s.a.w. Dan cinta ini mempunyai pelbagai cara untuk mengekspresikannya. Seperti menuruti sunnah Rasulallah s.a.w, berselawat kepada Rasulallah, bernasyid memuji Rasulallah s.a.w. Apa yang salanya dengan memuji-muji Baginda pilihan Allah ini, sedangkan Allah s.w.t sendiri dengan zatNya yang Maha Mulia beserta para malaikatNya berselawat dan memuji-muji Baginda s.a.w.

Kesimpulannya di sini, beriktiqadlah dengan jiwa yang bersih, jauh dari hati yang bersangka buruk dengan Baginda s.a.w bahawa Baginda s.a.w itu adalah insan pilihan Allah s.w.t, jika pilihan ini datang dari Allah s.w.t maka bagaimanakah kita sewenang-wenangnya mengikut hawa nafsu mengatakan Baginda s.a.w itu adalah insan biasa dan langsung hilang adab kita kepada Baginda s.a.w. Lahirkanlah cinta dan kasih sayang pada Baginda s.a.w. Kerana tanpa Baginda s.a.w, adakah mampu kita berdiri sendiri di padang Mahsyar kelak tanpa syafaat Baginda s.a.w, sedangkan Nabi Musa a.s sendiri berdoa memohon kepda Allah s.w.t untuk menjadi umat Baginda s.a.w.

Lahirkanlah cinta....
(Bila lagi kita akan bersua Ya Rasulallah)
Kredit gambar : bp.blogspot.com
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment